Jasad adalah anggota atau binaan struktur tubuh yang dicipta oleh Allah SWT dan dibekalkan dengan kekuatan atau kudrat untuk melakukan urusan yang dikehendaki. Kudrat yang dibekalkan adalah bersesuaian dengan saiz struktur rangka tubuh seseorang. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT itu bersifat Al Mushawwir (Yang membentuk rupa) dan Al Muqiit (Maha pemberi kecukupan) kepada makhluk-Nya. Perkara ini boleh kita buktikan dengan memerhatikan orang di sekeliling kita. Orang yang kerdil mempunyai kekuatan yang kecil manakala orang yang bertubuh besar mempunyai kekuatan lebih dan bersesuaian pula dengan dirinya. Jarang sekali atau tiada langsung orang kerdil mempunyai kekuatan seperti orang bertubuh besar. Semua ini adalah aturan-Nya kerana Dia lebih mengetahui dalam urusan-Nya.