Thursday, August 7, 2014

Di mana Penyatuan Maha Pencipta dengan Makhluk-Nya?

Benarkah Allah SWT menyatu dengan makhluk-Nya. Hal ini telah menjadi perbahasan ahli agama, falsafah dan ulama-ulama. Ramai yang menolak perkara ini, namun begitu ada juga yang menerimanya. Secara logiknya mana mungkin Allah SWT menyatukan diri-Nya dengan makhluk.
Martabat tuhan tidak mungkin berada pada makhluk tetapi sekiranya tiada penyatuan dengan Allah SWT bagaimana pula makhluk-Nya hidup atau mendapat tenaga hayat. Mana mungkin makhluk itu bergantung hayat pada diri mereka sendiri. Sekiranya makhluk itu bergantung pada diri sendiri, maka makhluk itu telah pun mengambil sifat Esa Allah SWT.
Hanya Allah SWT saja yang bergantung kepada Diri-Nya dan tidak mengharapkan bantuan kepada yang lain.  Semua makhluk itu bergantung di antara satu sama lain dan berhubung dengan hayat Allah SWT bagi mendapatkan sumber hayat kerana makhluk tidak ada keupayaan untuk menjana tenaga hayat sendiri.  Perkara ini telah dibincangkan pada bab kedua dalam tajuk kelahiran.
Walaupun begitu, hubungan ini tidak berlaku secara terus dan terbatas kepada Nur Suci, hanya sifat hayat di dalam Nur Suci saja berhubung terus dengan sifat hayat Allah SWT melalui perbuatan Allah SWT (lihat rajah 4). Saya tidak mahu membahaskan tajuk ini terlalu dalam kerana bimbang kekeliruan akan berlaku sehingga boleh timbul persoalan mengatakan makhluk itu berhubungan dengan Allah SWT melalui unsur dan Zat-Nya. Hubungan atau ikatan Allah SWT dengan makhluk berlaku atas sifat hayat kekasih-Nya dan sifat hayat ini pula wujud di dalam jasad. 

(Petikan dari buku Sistem Kerohanian Manusia)