Sunday, November 24, 2013

Wahdatul Wujud - Kosmologi Tauhid

Memerhatikan alam semesta itu dengan mengi’tiqad bahawa alam semesta ini adalah dari kesan perbuatan Allah SWT yakni dari asma-Nya akan meningkatkan ketauhidan seseorang itu. Di antara tokoh ilmuan Islam kosmologi-tauhid tersohor adalah Ibnu Arabi (1165-1240M). Di antara doktrinnya yang terkenal di kalangan sufi dan penuh dengan kontroversi adalah doktrin Wahdatul Wujud. Ramai ulama pada zamannya hingga kini mengkritik tentang doktrin ini dan ada di antara mereka mengkafirkan Ibnu Arabi. Salah faham mentafsirkan doktrin ini menjadikan mereka ini tidak dapat merasai kemanisan tauhid yang dirasai oleh Ibnu Arabi. Mana mungkin pencipta boleh bergabung menjadi satu dengan makhluk-Nya. Martabat tuhan tinggi dan martabat makhluk rendah, ini boleh diumpamakan seperti air dan tanah yang tidak mungkin bersatu tetapi terikat di antara satu sama lain (Allah SWT bersifat wahdaniyah tidak bergantung pada sesuatu). Apa yang Ibnu Arabi maksud adalah ikatan hayat makhluk itu dengan sifat hayat Allah dan bukannya gabungan jasad makhluk dengan Zat Allah SWT. Gabungan atau ikatan menyebabkan hayat makhluk dikembalikan kepada Pehayat asalnya. Kefahaman ilmu, perasaan, merasai ikatan hayat dan hilang syuhud hayat diri yang wujud hanya Hayat dari Allah SWT adalah Wahdatul Wujud yang dimaksudkan oleh Ibnu Arabi. Maka Pehayat  adalah Allah SWT yang Dia saja yang wujud dan makhluk hanya bergantung pada hayat Allah SWT. Walaupun begitu, hayat makhluk tidak terikat dengan Hayat Allah SWT secara terus tetapi masih ada perantaran iaitu sifat hayat kekasih-Nya atau Roh kekasih-Nya. Roh kekasih-Nya yang ‘mengikat’ hidup makhluk dan hayat Allah SWT.