Thursday, February 20, 2014

Penyatuan Jasad dan Roh Nabi Isa

Peristiwa ikatan jasad dan roh Nabi Isa a.s. Peristiwa kejadian Nabi Isa a.s. begitu menakjubkan sekali sehingga ada umat pada masa kelahirannya dan hingga kini mengatakan dia adalah anak tuhan yakni dilahirkan tanpa ada benih lelaki. Ini disebabkan oleh kejahilan dan kesombongan umat yang tidak mahu mempercayai keagungan dan kebesaran Allah SWT. Mereka memfitnah Mariam dengan pelbagai tohmahan sehingga mengatakan Mariam dan Isa a.s. itu dua tuhan selain daripada Allah SWT  . Jasad Nabi Isa tidak dicipta dengan benih lelaki yang datang dari unsur air . Perkara ini ada tercatat dalam surah Mariam ayat 20. Sekiranya Nabi Isa tidak dicipta daripada benih lelaki yang datang dari unsur air, dengan unsur apakah dia diciptakan? Ini satu persoalan yang perlu difikirkan bagi menguatkan hujah akal untuk menolak dakwaan bahawa Isa a.s. itu anak tuhan. Dalam perbincangan yang lepas saya ada mengatakan jasad itu terdiri daripada tiga unsur iaitu tanah, air dan angin. Sekiranya Adam a.s. itu daripada tanah, zuriatnya bermula dari unsur air (air mani), saya tidak menolak bahawa Nabi Isa a.s. itu dijadikan dari unsur angin. Memang ini tidak dicatat secara langsung dalam al-Quran tetapi ada dicatat secara tersirat dalam beberapa ayat dalam bentuk perkataan tiupan atau hembusan.