Ilmu kosmologi dan Islam sememangnya tidak dapat dipisahkan. Mempelajari ilmu kosmologi bermakna kita cuba mengetahui tentang kewujudan Allah SWT dan mengenal diri sendiri. Allah SWT menyeru manusia untuk mengkaji langit dan bumi. Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat berkisarkan tentang kejadian, rahsia, struktur, sistem serta fungsi langit dan bumi. Memahami langit dan bumi bererti memahami tentang sifat Allah SWT kerana kejadian alam semesta adalah dari sifat-Nya. Sifat alam semesta ini menyerupai sifat-Nya tetapi bukan sifat sebenar Allah SWT. Allah SWT menunjukkan sifat-Nya pada alam semesta ini supaya manusia mengenali-Nya menerusi makhluk ciptaan-Nya. Sifat yang ada pada makhluk adalah sifat yang diciptakan kerana martabat tuhan tidak layak bagi makhluk. Sifat yang dimaksudkan ini adalah sifat ma’ani Allah SWT. Dalam kosmologi Islam, kajian atau sumbangan akan berkait dengan soal-soal ibadat kepada Allah SWT berbanding dengan kosmologi bukan Islam yang lebih ditumpukan kepada soal keuntungan duniawi dan pengurusan makhluk. Kosmologi Islam terbahagi kepada tiga iaitu yang pertama hubungan kosmologi dengan fekah, kedua hubungan kosmologi dengan tauhid dan akhir sekali adalah hubungan kosmologi dengan tasawuf (Petikan buku sistem kerohanian manusia, bab 2, kosmologi islam).
No comments:
Post a Comment