Showing posts with label wahdatul wujud. Show all posts
Showing posts with label wahdatul wujud. Show all posts

Thursday, August 7, 2014

Di mana Penyatuan Maha Pencipta dengan Makhluk-Nya?

Benarkah Allah SWT menyatu dengan makhluk-Nya. Hal ini telah menjadi perbahasan ahli agama, falsafah dan ulama-ulama. Ramai yang menolak perkara ini, namun begitu ada juga yang menerimanya. Secara logiknya mana mungkin Allah SWT menyatukan diri-Nya dengan makhluk.
Martabat tuhan tidak mungkin berada pada makhluk tetapi sekiranya tiada penyatuan dengan Allah SWT bagaimana pula makhluk-Nya hidup atau mendapat tenaga hayat. Mana mungkin makhluk itu bergantung hayat pada diri mereka sendiri. Sekiranya makhluk itu bergantung pada diri sendiri, maka makhluk itu telah pun mengambil sifat Esa Allah SWT.
Hanya Allah SWT saja yang bergantung kepada Diri-Nya dan tidak mengharapkan bantuan kepada yang lain.  Semua makhluk itu bergantung di antara satu sama lain dan berhubung dengan hayat Allah SWT bagi mendapatkan sumber hayat kerana makhluk tidak ada keupayaan untuk menjana tenaga hayat sendiri.  Perkara ini telah dibincangkan pada bab kedua dalam tajuk kelahiran.
Walaupun begitu, hubungan ini tidak berlaku secara terus dan terbatas kepada Nur Suci, hanya sifat hayat di dalam Nur Suci saja berhubung terus dengan sifat hayat Allah SWT melalui perbuatan Allah SWT (lihat rajah 4). Saya tidak mahu membahaskan tajuk ini terlalu dalam kerana bimbang kekeliruan akan berlaku sehingga boleh timbul persoalan mengatakan makhluk itu berhubungan dengan Allah SWT melalui unsur dan Zat-Nya. Hubungan atau ikatan Allah SWT dengan makhluk berlaku atas sifat hayat kekasih-Nya dan sifat hayat ini pula wujud di dalam jasad. 

(Petikan dari buku Sistem Kerohanian Manusia)

Thursday, April 17, 2014

Penyatuan Langit dan Bumi dalam huraian Sains Kesufian

Seperti juga roh dan jasad, langit dan bumi juga diikat oleh Allah SWT dengan ikatan daya-daya yang wujud pada langit dan bumi. Ikatan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk memberi hayat yang berterusan kepada bumi. Bumi tidak mempunyai hayat sendiri tetapi bergantung hayat wujud wajid iaitu sifat hayat Allah SWT. Allah SWT melimpahkan sifat hayat-Nya kepada semua makhluk melalui Roh kekasih-Nya.  Cahaya dari Roh kekasih-Nya ini kemudian dilimpahkan pula pada semua makhluk .Proses limpahan ini masih berlaku dan berterusan mengikut ilmu dan iradat-Nya. Berhubungan dengan ini, putaran bumi dan segala tenaga yang wujud di antaranya menunjukkan ia datang dari Allah SWT bukan dari makhluk itu sendiri. Makhluk tidak mampu menjana tenaga sendiri tetapi perlu mengambil tenaga daripada punca tenaga bagi proses kehidupannya. Banyak surah-surah dalam al-Quran secara tidak langsung yang menerangkan perihal ini.

Sunday, November 24, 2013

Wahdatul Wujud - Kosmologi Tauhid

Memerhatikan alam semesta itu dengan mengi’tiqad bahawa alam semesta ini adalah dari kesan perbuatan Allah SWT yakni dari asma-Nya akan meningkatkan ketauhidan seseorang itu. Di antara tokoh ilmuan Islam kosmologi-tauhid tersohor adalah Ibnu Arabi (1165-1240M). Di antara doktrinnya yang terkenal di kalangan sufi dan penuh dengan kontroversi adalah doktrin Wahdatul Wujud. Ramai ulama pada zamannya hingga kini mengkritik tentang doktrin ini dan ada di antara mereka mengkafirkan Ibnu Arabi. Salah faham mentafsirkan doktrin ini menjadikan mereka ini tidak dapat merasai kemanisan tauhid yang dirasai oleh Ibnu Arabi. Mana mungkin pencipta boleh bergabung menjadi satu dengan makhluk-Nya. Martabat tuhan tinggi dan martabat makhluk rendah, ini boleh diumpamakan seperti air dan tanah yang tidak mungkin bersatu tetapi terikat di antara satu sama lain (Allah SWT bersifat wahdaniyah tidak bergantung pada sesuatu). Apa yang Ibnu Arabi maksud adalah ikatan hayat makhluk itu dengan sifat hayat Allah dan bukannya gabungan jasad makhluk dengan Zat Allah SWT. Gabungan atau ikatan menyebabkan hayat makhluk dikembalikan kepada Pehayat asalnya. Kefahaman ilmu, perasaan, merasai ikatan hayat dan hilang syuhud hayat diri yang wujud hanya Hayat dari Allah SWT adalah Wahdatul Wujud yang dimaksudkan oleh Ibnu Arabi. Maka Pehayat  adalah Allah SWT yang Dia saja yang wujud dan makhluk hanya bergantung pada hayat Allah SWT. Walaupun begitu, hayat makhluk tidak terikat dengan Hayat Allah SWT secara terus tetapi masih ada perantaran iaitu sifat hayat kekasih-Nya atau Roh kekasih-Nya. Roh kekasih-Nya yang ‘mengikat’ hidup makhluk dan hayat Allah SWT.

Friday, February 1, 2013

Kewujudan Roh

Wujud roh adalah wujud mumkinat atau wujud yang diwujudkan.Roh bukan terus dari Zat Allah SWT tetapi dari cahaya Zat-Nya. Sekiranya roh itu terus dari Zat Allah SWT ia akan tergolong dalam wujud wajid.Cahaya Zat-Nya yang dimaksudkan adalah sifat hayat Allah SWT. Allah SWT melimpahkan sifat hayat-Nya pada roh sebagai ‘tali penghubung’ kepada-Nya. Oleh itu, roh ini akan kekal . Sifat-sifat roh adalah terdiri daripada hayat (hidup), ilmu, kudrat, iradat, sami (mendengar), basar (melihat) dan kalam (berkata-kata). Sifat-sifat ini adalah sifat yang diciptakan oleh Allah SWT dan bukan sifat langsung dari Allah SWT. Sifat roh bermula dari sifat hayat kemudian kepada ilmu, kudrat dan iradat. Sifat hayat bagi manusia dinamakan hayat insan. Di dalam sifat ilmu terkumpul sifat sami, basar dan kalam. Di dalam sifat hayat mumkinat itu terkandung semua sifat bagi roh yang diterangkan seperti di atas. Di dalam surah Nuh ayat 14 Allah SWT ada menerangkan proses penciptaan manusia itu berlaku secara berperingkat.Allah SWT tidak mengkhususkan kejadian yang berperingkat ini kepada jasad sahaja tetapi juga kepada roh juga. Ini kerana manusia itu terdiri daripada jasad dan roh. Peringkat kejadian jasad itu bermula daripada Adam a.s. dan peringkat kejadian roh pula bermula dari sifat hayat mumkinat.

Published with Blogger-droid v2.0.10