Saturday, December 20, 2014

Apa yang dimaksudkan dengan 6 masa Penciptaan Alam Semesta?

Rajah diberi menunjukkan masa kewujudan alam semesta langit dan bumi. Proses kejadian langit dan bumi berlaku dan tempoh enam masa iaitu tempoh evolusi enam unsur secara umum iaitu tiga masa penciptaan langit dan tiga masa penciptaan bumi. Huraian tempoh enam masa dari surah al-Araf ayat 54, Yunus ayat 3, Hud ayat 7, al-Furqan ayat 59, as-Sajda ayat 4, Qaf ayat 38 dan al-Hadid ayat 4. Tetapi secara khusus, hanya dua masa yang dikira untuk penciptaan langit iaitu tempoh kewujudan unsur cahaya dan api. Penciptaan bumi juga berlaku dalam dua masa iaitu tempoh kewujudan unsur air dan tanah. Bagi unsur nur suci ia adalah unsur asas kejadian langit dan unsur angin (gas-gas) unsur asas kejadian bumi. (Dari Buku Sistem kerohanian manusia )

Thursday, August 7, 2014

Di mana Penyatuan Maha Pencipta dengan Makhluk-Nya?

Benarkah Allah SWT menyatu dengan makhluk-Nya. Hal ini telah menjadi perbahasan ahli agama, falsafah dan ulama-ulama. Ramai yang menolak perkara ini, namun begitu ada juga yang menerimanya. Secara logiknya mana mungkin Allah SWT menyatukan diri-Nya dengan makhluk.
Martabat tuhan tidak mungkin berada pada makhluk tetapi sekiranya tiada penyatuan dengan Allah SWT bagaimana pula makhluk-Nya hidup atau mendapat tenaga hayat. Mana mungkin makhluk itu bergantung hayat pada diri mereka sendiri. Sekiranya makhluk itu bergantung pada diri sendiri, maka makhluk itu telah pun mengambil sifat Esa Allah SWT.
Hanya Allah SWT saja yang bergantung kepada Diri-Nya dan tidak mengharapkan bantuan kepada yang lain.  Semua makhluk itu bergantung di antara satu sama lain dan berhubung dengan hayat Allah SWT bagi mendapatkan sumber hayat kerana makhluk tidak ada keupayaan untuk menjana tenaga hayat sendiri.  Perkara ini telah dibincangkan pada bab kedua dalam tajuk kelahiran.
Walaupun begitu, hubungan ini tidak berlaku secara terus dan terbatas kepada Nur Suci, hanya sifat hayat di dalam Nur Suci saja berhubung terus dengan sifat hayat Allah SWT melalui perbuatan Allah SWT (lihat rajah 4). Saya tidak mahu membahaskan tajuk ini terlalu dalam kerana bimbang kekeliruan akan berlaku sehingga boleh timbul persoalan mengatakan makhluk itu berhubungan dengan Allah SWT melalui unsur dan Zat-Nya. Hubungan atau ikatan Allah SWT dengan makhluk berlaku atas sifat hayat kekasih-Nya dan sifat hayat ini pula wujud di dalam jasad. 

(Petikan dari buku Sistem Kerohanian Manusia)

Thursday, June 5, 2014

Sifat Cahaya Zahir dan Batin dalam huraian Al Quran

Surah an-Nur ayat 35, Allah SWT telah menerangkan sifat zahir (sifat luaran) dan batin (hidayah) cahaya itu dengan jelas. Dia yakni Allah SWT mengatakan cahaya itu strukturnya berlapis-lapis. Setiap lapisan ini mempunyai tenaga dan daya yang berlainan. Walaupun begitu, punca cahaya tetap berasal dari satu punca iaitu Nur Suci dikiaskan sebagai minyak dari pohon zaitun. Allah menerangkan bahawa punca kejadian cahaya ini dari ‘minyak dari pohon yang banyak manfaat’. Dalam ayat di atas minyak zaitun yang menjadi punca kewujudan cahaya ini diletakkan dalam lampu. Lampu yang berisi minyak zaitun ini pula berada di dalamgeluk kaca. Lokasi geluk kaca ini adalah di dalam misykaat atau lubang.Cahaya yang tercipta daripada minyak zaitun mula merentasi lampu, geluk kaca dan misykaat ini kemudian menerangi sekelilingnya dan dikhususkan memasuki rumah ibadat. Perjalanan cahaya dan bahagiannya ada diringkaskan seperti jadual yang di beri. (Dari buku Sistem Kerohanian Manusia)

“Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" atau lubang yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari);
hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayat-Nya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

Tuesday, May 13, 2014

Meneroka di Alam Makrokosmo

Peristiwa Mikraj membuktikan bahawa kewujudan dan tingkatan langit. Hanya satu saja makhluk ciptaan Allah SWT yang telah menembusi semua lapisan langit iaitu Nabi Muhammad SAW. Peristiwa nabi naik ke langit adalah benar dan terdapat beberapa bukti serta kesan daripada peristiwa ini masih ada sehingga kini. Selepas dan sebelum Nabi Muhammmad SAW, tiada satu pun makhluk yang boleh menembusi langit teratas iaitu langit ketujuh. Hanya Nabi Muhammad SAW saja yang tahu keadaan di setiap langit yang dilaluinya dan segala ilmu mengenai alam semesta ini diberi kepada umatnya.
Peristiwa Mikraj tidak akan berlaku lagi cuma boleh dirasai keadaannya iaitu dalam bentuk ilmu dan perasaan. Bagi ahli sufi, mereka mempunyai kaedah untuk melalui lapisan langit dengan menggunakan teknik tafakur dan menerokai alam yang wujud pada tubuh. Menerokai alam di mikrokosmo juga seperti menerokai alam di makrokosmo cuma terbatas dari sudut ruang dan masa. Walau bagaimanapun, meneroka melalui kaedah ini dapat memberi keyakinan dengan merasai kehampiran dengan Allah SWT. Bermula dengan Alam Mulki kemudian Malakut, Jabarut dan Lahut akan menyebabkan mereka tenggelam dalam kewujudan-Nya. Ini akan meningkatkan ketauhidan seseorang yang menjalani kaedah tafakur yang betul.
Selain daripada tafakur, zikir yang tertentu juga boleh menyebabkan seseorang itu dapat menembusi frekuensi alam-alam ini.
Zikir ini boleh menyebabkan perubahan gelombang tubuh menjadi lebih halus atau menyamai alam-alam ini. Zikir-zikir yang begini perlu diambil secara bersanad dan tertib daripada guru-guru benar yang mempunyai ikatan ilmu dengan Nabi Muhammad SAW. Walaupun begitu, mengamal zikir perlulah ikhlas untuk mendekatkan diri dengan-Nya dan bukan tujuan lain seperti untuk kemasyhuran atau sebagainya.

Thursday, April 17, 2014

Penyatuan Langit dan Bumi dalam huraian Sains Kesufian

Seperti juga roh dan jasad, langit dan bumi juga diikat oleh Allah SWT dengan ikatan daya-daya yang wujud pada langit dan bumi. Ikatan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk memberi hayat yang berterusan kepada bumi. Bumi tidak mempunyai hayat sendiri tetapi bergantung hayat wujud wajid iaitu sifat hayat Allah SWT. Allah SWT melimpahkan sifat hayat-Nya kepada semua makhluk melalui Roh kekasih-Nya.  Cahaya dari Roh kekasih-Nya ini kemudian dilimpahkan pula pada semua makhluk .Proses limpahan ini masih berlaku dan berterusan mengikut ilmu dan iradat-Nya. Berhubungan dengan ini, putaran bumi dan segala tenaga yang wujud di antaranya menunjukkan ia datang dari Allah SWT bukan dari makhluk itu sendiri. Makhluk tidak mampu menjana tenaga sendiri tetapi perlu mengambil tenaga daripada punca tenaga bagi proses kehidupannya. Banyak surah-surah dalam al-Quran secara tidak langsung yang menerangkan perihal ini.

Thursday, March 27, 2014

Kod penghubung lapisan langit dan alam

Dimana hubungan alam semesta dengan manusia. Jasad berasal dari bumi manakala roh berasal dari langit. Pada tubuh, bahagian roh diwakili oleh lata’if. Susunan lata’if di tubuh juga memberi petunjuk bilangan lapisan dan jumlah langit yang wujud di alam semesta. Terdapat sepuluh lata’if pada tubuh manusia. Setiap satunya mewakili setiap lapisan langit dan Alam Mulki, Malakut, Jabarut dan Lahut.  Bagaimana ini boleh berlaku? Lata'if (rajah yang diberi) diwakili oleh unsur-unsur yang menjadikan langit dan alam tersebut wujud di tubuh manusia. Mengetahui lokasi dan frekuensi unsur-unsur(yang ada pada lata'if ) tersebut lalu ‘meletakkan diri’ padanya menyebabkan gelombang tubuh akan bertukar frekuensi mengikut unsur yang diduduki. Jadi frekuensi tubuh sekarang menjadi sama dengan lata’if yang mewakili alam tertentu. Oleh itu, tubuh akan dapat merasai, melihat dan mendengar perkara yang berlaku dalam alam yang mempunyai frekuensi sama. Contoh yang mudah untuk difahami adalah bagaimana dua orang yang berbeza tempat dapat berhubung di antara satu sama lain melalui talian telefon. Nombor telefon yang didail adalah kod frekuensi seseorang yang hendak dihubungi dan dua tempat yang berbeza mewakili dua ruang yang berlainan. Jadi, dengan mengetahui nombor telefon atau kod frekuensi seseorang itu, maka mudahlah dia dihubungi dengan perantaraan gelombang elektromagnetik telefon. Pada tubuh, kod frekuensi atau nombor talian adalah titik lata’if dan kaedah ‘meletakkan diri’ ini adalah seperti berzikir, bernafas dan tafakur di titik lata’if.

Wednesday, March 12, 2014

Metakosmo, Makrokosmo dan Mikrokosmo

Mikrokosmo adalah kewujudan roh (mewakili langit) dalam jasad (mewakili bumi) dan kehadiran titik lata'if @ titik rohani pada tubuh. Makrokosmo adalah bermula dari langit pertama hingga langit ketujuh. Metakosmo adalah wilayah sebelum langit ketujuh iaitu bermula dari wilayah kelapan hingga wilayah kesepuluh. Kedudukan asma, sifat dan Zat Allah SWT itu qadim (tersedia ada) dan tidak dibatasi dengan masa, ruang dan tempat.

Thursday, February 20, 2014

Penyatuan Jasad dan Roh Nabi Isa

Peristiwa ikatan jasad dan roh Nabi Isa a.s. Peristiwa kejadian Nabi Isa a.s. begitu menakjubkan sekali sehingga ada umat pada masa kelahirannya dan hingga kini mengatakan dia adalah anak tuhan yakni dilahirkan tanpa ada benih lelaki. Ini disebabkan oleh kejahilan dan kesombongan umat yang tidak mahu mempercayai keagungan dan kebesaran Allah SWT. Mereka memfitnah Mariam dengan pelbagai tohmahan sehingga mengatakan Mariam dan Isa a.s. itu dua tuhan selain daripada Allah SWT  . Jasad Nabi Isa tidak dicipta dengan benih lelaki yang datang dari unsur air . Perkara ini ada tercatat dalam surah Mariam ayat 20. Sekiranya Nabi Isa tidak dicipta daripada benih lelaki yang datang dari unsur air, dengan unsur apakah dia diciptakan? Ini satu persoalan yang perlu difikirkan bagi menguatkan hujah akal untuk menolak dakwaan bahawa Isa a.s. itu anak tuhan. Dalam perbincangan yang lepas saya ada mengatakan jasad itu terdiri daripada tiga unsur iaitu tanah, air dan angin. Sekiranya Adam a.s. itu daripada tanah, zuriatnya bermula dari unsur air (air mani), saya tidak menolak bahawa Nabi Isa a.s. itu dijadikan dari unsur angin. Memang ini tidak dicatat secara langsung dalam al-Quran tetapi ada dicatat secara tersirat dalam beberapa ayat dalam bentuk perkataan tiupan atau hembusan.

Monday, February 17, 2014

Metakosmo - Ruangan sebelum langit


Metakosmo adalah wilayah sebelum langit. Allah SWT telah berfirman dalam beberapa ayat yang terdapat di dalam al-Quran bahawa langit mempunyai tujuh lapisan. Kejadian awal langit adalah di langit ke tujuh dan metakosmo wujud sebelum langit ketujuh ini. Para sarjana Islam dan barat cuba mencari jawapan tentang kewujudan ruangan selepas langit ini tetapi masih belum menemui jawapannya. Walaupun begitu, mereka yakini bahawa terdapat wilayah sebelum terjadinya langit.Persoalannya di manakah kedudukan ruangan ini, bagaimana ruangan diwujudkan dan dengan unsur apa wilayah ini diciptakan. Semua ini adalah persoalan yang perlu dijawab bagi mencari kewujudannya.
Di manakah kedudukan Metakosmo?
Metakosmo wujud selepas alam qadim iaitu selepas terciptanya sifat hayat kekasih-Nya(roh kekasih-Nya) dan sebelum terjadinya alam semesta yakni sebelum terciptanya langit ketujuh. Alam qadim adalah alam ketuhanan, alam baharu pula adalah alam yang diciptakan dari perbuatan Allah SWT yang qadim . Jadi metakosmo terletak di alam baharu iaitu selepas alam qadim. Sifat hayat kekasih-Nya tidak terletak di metakosmo tetapi sebelum wujudnya metakosmo. Pendapat yang mengatakan metakosmo itu ialah alam ketuhanan 'batin' adalah salah kerana alam ketuhanan 'batin' tiada dipengaruhi oleh ruang, masa dan gerak bahkan alam ketuhanan yang menguasai semua ini. Metakosmo masih mempunyai ruang dan gerak kerana masih mempunyai unsur-unsur yang bertindak ke atasnya.