Sunday, November 24, 2013

Wahdatul Wujud - Kosmologi Tauhid

Memerhatikan alam semesta itu dengan mengi’tiqad bahawa alam semesta ini adalah dari kesan perbuatan Allah SWT yakni dari asma-Nya akan meningkatkan ketauhidan seseorang itu. Di antara tokoh ilmuan Islam kosmologi-tauhid tersohor adalah Ibnu Arabi (1165-1240M). Di antara doktrinnya yang terkenal di kalangan sufi dan penuh dengan kontroversi adalah doktrin Wahdatul Wujud. Ramai ulama pada zamannya hingga kini mengkritik tentang doktrin ini dan ada di antara mereka mengkafirkan Ibnu Arabi. Salah faham mentafsirkan doktrin ini menjadikan mereka ini tidak dapat merasai kemanisan tauhid yang dirasai oleh Ibnu Arabi. Mana mungkin pencipta boleh bergabung menjadi satu dengan makhluk-Nya. Martabat tuhan tinggi dan martabat makhluk rendah, ini boleh diumpamakan seperti air dan tanah yang tidak mungkin bersatu tetapi terikat di antara satu sama lain (Allah SWT bersifat wahdaniyah tidak bergantung pada sesuatu). Apa yang Ibnu Arabi maksud adalah ikatan hayat makhluk itu dengan sifat hayat Allah dan bukannya gabungan jasad makhluk dengan Zat Allah SWT. Gabungan atau ikatan menyebabkan hayat makhluk dikembalikan kepada Pehayat asalnya. Kefahaman ilmu, perasaan, merasai ikatan hayat dan hilang syuhud hayat diri yang wujud hanya Hayat dari Allah SWT adalah Wahdatul Wujud yang dimaksudkan oleh Ibnu Arabi. Maka Pehayat  adalah Allah SWT yang Dia saja yang wujud dan makhluk hanya bergantung pada hayat Allah SWT. Walaupun begitu, hayat makhluk tidak terikat dengan Hayat Allah SWT secara terus tetapi masih ada perantaran iaitu sifat hayat kekasih-Nya atau Roh kekasih-Nya. Roh kekasih-Nya yang ‘mengikat’ hidup makhluk dan hayat Allah SWT.

Sunday, October 27, 2013

Peristiwa ikatan Jasad dan Roh keturunan Nabi Adam a.s

Peristiwa ini berlaku di dalam rahim. Kesempurnaan jasad tercapai apabila janin di dalam rahim telah selesai fasa 3 iaitu selepas proses ‘daging membaluti tulang.Tempoh masa akhir fasa ini adalah lebih kurang dua belas hingga enam belasminggu atau tiga hingga empat bulan. Apabila tiba tempoh ini, maka malaikat pun meniup roh ke jasad atau janin yang matang melalui bahagian tubuh ibunya. Melalui ilmu lata’if, tiupan roh berlaku di lata’if akhfa atau di ubun-ubun ibu dan kemudian terus ke rahim dan janin. Para ulama fekah telah meletakkan tempoh kemasukan roh ke dalam janin adalah lebih tiga bulan. Mereka mengambil tempoh ini dengan merujuk kepada tempoh idah yang ditetapkan oleh al-Quran. Ini adalah untuk mengesahkan wanita itu tidak mengandung atau mengenalpasti anak kandungnya dalam tempoh kematangan janin sebelum berkahwin dengan lelaki lain. Peristiwa ikatan roh dengan jasad ada tercatat di dalam surah as-Sajdah ayat 29.

Thursday, October 17, 2013

Sistem Kerohanian Manusia

Rajah yang diberi menunjukkan kawalan hubungan sistem rohani. Terdapat tiga peringkat kawalan rohani yang diketahui iaitu sistem rohani peringkat pertama iaitu adalah sifat hayat Allah SWT. Melalui sifat hayat wujud wajib terjadinya sifat hayat kekasih-Nya (roh kekasih-Nya) iaitu kesan dari perbuatan-Nya . Daripada sifat hayat kekasih-Nya(roh kekasih-Nya) inilah terjadinya sifat kudrat, sifat ilmu dan sifat iradat (wujud di setiap lapisan langit) lalu mengawal sifat-sifat yang diwujudkan ini. (Dari buku sistem kerohanian manusia).

Monday, September 23, 2013

Kosmologi Islam

Ilmu kosmologi dan Islam sememangnya tidak dapat dipisahkan. Mempelajari ilmu kosmologi bermakna kita cuba mengetahui tentang kewujudan Allah SWT dan mengenal diri sendiri. Allah SWT menyeru manusia untuk mengkaji langit dan bumi. Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat berkisarkan tentang kejadian, rahsia, struktur, sistem serta fungsi langit dan bumi. Memahami langit dan bumi bererti memahami tentang sifat Allah SWT kerana kejadian alam semesta adalah dari sifat-Nya. Sifat alam semesta ini menyerupai sifat-Nya tetapi bukan sifat sebenar Allah SWT. Allah SWT menunjukkan sifat-Nya pada alam semesta ini supaya manusia mengenali-Nya menerusi makhluk ciptaan-Nya. Sifat yang ada pada makhluk adalah sifat yang diciptakan kerana martabat tuhan tidak layak bagi makhluk. Sifat yang dimaksudkan ini adalah sifat ma’ani Allah SWT. Dalam kosmologi Islam, kajian atau sumbangan akan berkait dengan soal-soal ibadat kepada Allah SWT berbanding dengan kosmologi bukan Islam yang lebih ditumpukan kepada soal keuntungan duniawi dan pengurusan makhluk. Kosmologi Islam terbahagi kepada tiga iaitu yang pertama hubungan kosmologi dengan fekah, kedua hubungan kosmologi dengan tauhid dan akhir sekali adalah hubungan kosmologi dengan tasawuf (Petikan buku sistem kerohanian manusia, bab 2, kosmologi islam).

Wednesday, August 14, 2013

Apakah unsur-unsur setiap lapisan langit?

Langit mula diciptakan selepas wilayah kelapan atau juga disebut ruang sebelum langit atau metakosmo. Langit dicipta daripada dua jenis unsur iaitu cahaya dan api (magnetik). Kedua-dua unsur ini pula berasal dari Nur Suci (cahaya kekasih-Nya). Manakala Nur Suci (cahaya kekasih-Nya) pula berasal dari sifat hayat mumkinat (roh kekasih-Nya) yang terjadi daripada perbuatan Allah SWT. Kejadian binaan langit bertingkat-tingkat ini berlaku secara peringkat-peringkat dan mengikut hierarki unsur dan lapisan unsur.Susunan unsur langit bermula dari unsur cahaya iaitu pada lapisan ketiga, lapisan kedua, lapisan pertama dan unsur api (magnetik) pada lapisan keempat, lapisan ketiga, lapisan kedua dan lapisan pertama (lihat rajah 1).Surah nuh ayat 15, Allah SWT ada berfirman supaya kita memikirkan bagaimana binaan langit itu ditinggikan.



Sunday, July 14, 2013

Kewujudan bumi dari huraian sains kesufian

KEWUJUDAN BUMI DALAM HURAIAN SAINS KESUFIAN:-Proses kewujudan bumi adalah kesinambungan dari langit. Proses perkembangan dan ikatan unsur langit yang menyebabkan terjadinya bumi. Unsur langit yang dimaksudkan ini adalah unsur api (magnetik atau bahagian atom) di lapisan pertama. Unsur api (magnetik atau bahagian atom) ini diberatkan ketumpatan dan bergabung dengan unsur-unsur lain lalu bertukar kepada unsur angin (gas-gas). Kewujudan angin (gas-gas) yang menjadikan bumi lengkap di langit pertama. Walaupun begitu, unsur magnetik yang bertukar kepada atom dan gas-gas ini telah berlaku di langit keempat kemudian menjadi lengkap apabila turun ke langit ketiga, kedua dan pertama. Proses perkembangan atau evolusi unsur-unsur ini ada dinyatakan di dalam firman Allah SWT di dalam surah al- Anbiya ayat 30. Dalam ayat ini, Allah SWT mengatakan bahawa langit dan bumi pada awalnya bercantum atau berasal dari ‘satu’. Kemudian Allah SWT pisahkan yang satu ini menjadi dua. Saya mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa bumi berasal dari langit atau pun dari unsur langit menjadi unsur bumi. Kewujudan bumi ini melalui beberapa peringkat evolusi dan ikatan unsur-unsur (lihat rajah b). Evolusi dan ikatan unsur-unsur ini membentuk lapisan bumi satu persatu sehingga lengkap menjadi tujuh lapisan . Tujuh lapisan bumi ini terdiri daripada satu lapisan unsur magnetik, satu unsur angin, dua lapisan unsur air dan tiga lapisan unsur tanah (Petikan dari buku sistem kerohanian manusia bab 2 tajuk kewujudan bumi)

Sunday, June 23, 2013

Kelahiran Langit atau Teori Big Bang

Ada ikhwan dan rakan yang bertanya tentang teori Big Bang kepada saya, adakah ia benar berlaku atau satu teori ciptaan barat untuk menolak ayat alQuran. Dalam buku terbaru saya bertajuk 'Sistem Kerohanian Manusia' ada diterangkan secara ilmiah berdasarkan al-Quran dan sains kesufian. Secara umumnya kewujudan makhluk ciptaan Allah Swt adalah wujud mumkinat atau wujud yang diciptakan. Proses kewujudan ini mesti melalui kelahiran sebagai kesinanbungan selepas berlaku ciptaan awal . Begitu juga tentang kewujudan langit, Allah SWT mencipta langit dengan kehendak Nya. Bermula dengan sifat iradat (Pekehendak), Allah SWT menggunakan kalam-Nya dan Ilmu-Nya dengan lafaz كن ُ (kun) dari surah al-Baqarah ayat 117.Kemudian Allah SWT menggunakan daya dari sifat kudrat-Nya dan terciptalah sifat hayat mumkinat (Roh kekasih-Nya) dan daripada Roh kekasih-Nya maka terpancarlah pula unsur awal yang dinamakan Nur Suci(Cahaya kekasih-Nya). Dari Nur Suci maka terjadilah cahaya. Cahaya terdiri daripada lima lapisan. Langit mula tercipta di lapisan cahaya ketiga iaitu semasa pecutan cahaya menjadi malar. Dari keterangan ilmu lata’if, wilayah kelapan juga adalah pusat kudrat (tenaga) langit dan bumi. Jadi, bermula di pusat kudrat (wilayah kelapan) maka terbinalah atau lahirlah langit. Awal langit adalah langit ketujuh. Saya mengatakan bahawa kelahiran langit itu berlaku dan terjadi di wilayah kelapan, iaitu bukan dengan cara letupan tetapi cetusan harmoni cahaya (selepas cahaya diciptakan) atau pecutan awal cahaya atau juga pergerakan awal cahaya.(Dari Petikan buku Sistem Kerohanian Manusia , bab 2, tajuk kelahiran langit)