Thursday, February 20, 2014

Penyatuan Jasad dan Roh Nabi Isa

Peristiwa ikatan jasad dan roh Nabi Isa a.s. Peristiwa kejadian Nabi Isa a.s. begitu menakjubkan sekali sehingga ada umat pada masa kelahirannya dan hingga kini mengatakan dia adalah anak tuhan yakni dilahirkan tanpa ada benih lelaki. Ini disebabkan oleh kejahilan dan kesombongan umat yang tidak mahu mempercayai keagungan dan kebesaran Allah SWT. Mereka memfitnah Mariam dengan pelbagai tohmahan sehingga mengatakan Mariam dan Isa a.s. itu dua tuhan selain daripada Allah SWT  . Jasad Nabi Isa tidak dicipta dengan benih lelaki yang datang dari unsur air . Perkara ini ada tercatat dalam surah Mariam ayat 20. Sekiranya Nabi Isa tidak dicipta daripada benih lelaki yang datang dari unsur air, dengan unsur apakah dia diciptakan? Ini satu persoalan yang perlu difikirkan bagi menguatkan hujah akal untuk menolak dakwaan bahawa Isa a.s. itu anak tuhan. Dalam perbincangan yang lepas saya ada mengatakan jasad itu terdiri daripada tiga unsur iaitu tanah, air dan angin. Sekiranya Adam a.s. itu daripada tanah, zuriatnya bermula dari unsur air (air mani), saya tidak menolak bahawa Nabi Isa a.s. itu dijadikan dari unsur angin. Memang ini tidak dicatat secara langsung dalam al-Quran tetapi ada dicatat secara tersirat dalam beberapa ayat dalam bentuk perkataan tiupan atau hembusan.

Monday, February 17, 2014

Metakosmo - Ruangan sebelum langit


Metakosmo adalah wilayah sebelum langit. Allah SWT telah berfirman dalam beberapa ayat yang terdapat di dalam al-Quran bahawa langit mempunyai tujuh lapisan. Kejadian awal langit adalah di langit ke tujuh dan metakosmo wujud sebelum langit ketujuh ini. Para sarjana Islam dan barat cuba mencari jawapan tentang kewujudan ruangan selepas langit ini tetapi masih belum menemui jawapannya. Walaupun begitu, mereka yakini bahawa terdapat wilayah sebelum terjadinya langit.Persoalannya di manakah kedudukan ruangan ini, bagaimana ruangan diwujudkan dan dengan unsur apa wilayah ini diciptakan. Semua ini adalah persoalan yang perlu dijawab bagi mencari kewujudannya.
Di manakah kedudukan Metakosmo?
Metakosmo wujud selepas alam qadim iaitu selepas terciptanya sifat hayat kekasih-Nya(roh kekasih-Nya) dan sebelum terjadinya alam semesta yakni sebelum terciptanya langit ketujuh. Alam qadim adalah alam ketuhanan, alam baharu pula adalah alam yang diciptakan dari perbuatan Allah SWT yang qadim . Jadi metakosmo terletak di alam baharu iaitu selepas alam qadim. Sifat hayat kekasih-Nya tidak terletak di metakosmo tetapi sebelum wujudnya metakosmo. Pendapat yang mengatakan metakosmo itu ialah alam ketuhanan 'batin' adalah salah kerana alam ketuhanan 'batin' tiada dipengaruhi oleh ruang, masa dan gerak bahkan alam ketuhanan yang menguasai semua ini. Metakosmo masih mempunyai ruang dan gerak kerana masih mempunyai unsur-unsur yang bertindak ke atasnya.

Tuesday, December 3, 2013

Pengurusan di Setiap Lapisan Langit

Rajah di bawah menunjukkan urusan di setiap langit dalam sistem kosmologi yang kita diami.  Sumber hayat mempunyai kedudukan tertinggi dalam sistem ini namum pusat kehendak yang mengawal semua pusat berkenaan. Sistem kosmologi bertindak seperti sistem kerohanian iaitu terdiri daripada qolbi, akal, kudrat dan hayat. Qolbi bertindak sebagai pusat kehendak, akal berfungsi sebagai pusat pengurusan, kudrat berfungsi sebagai pusat kekuatan dan hayat bertindak sebagai sumber hayat.
'Lalu Dia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing …………………………….'(Surah Fussilat ayat 12)

Sunday, November 24, 2013

Wahdatul Wujud - Kosmologi Tauhid

Memerhatikan alam semesta itu dengan mengi’tiqad bahawa alam semesta ini adalah dari kesan perbuatan Allah SWT yakni dari asma-Nya akan meningkatkan ketauhidan seseorang itu. Di antara tokoh ilmuan Islam kosmologi-tauhid tersohor adalah Ibnu Arabi (1165-1240M). Di antara doktrinnya yang terkenal di kalangan sufi dan penuh dengan kontroversi adalah doktrin Wahdatul Wujud. Ramai ulama pada zamannya hingga kini mengkritik tentang doktrin ini dan ada di antara mereka mengkafirkan Ibnu Arabi. Salah faham mentafsirkan doktrin ini menjadikan mereka ini tidak dapat merasai kemanisan tauhid yang dirasai oleh Ibnu Arabi. Mana mungkin pencipta boleh bergabung menjadi satu dengan makhluk-Nya. Martabat tuhan tinggi dan martabat makhluk rendah, ini boleh diumpamakan seperti air dan tanah yang tidak mungkin bersatu tetapi terikat di antara satu sama lain (Allah SWT bersifat wahdaniyah tidak bergantung pada sesuatu). Apa yang Ibnu Arabi maksud adalah ikatan hayat makhluk itu dengan sifat hayat Allah dan bukannya gabungan jasad makhluk dengan Zat Allah SWT. Gabungan atau ikatan menyebabkan hayat makhluk dikembalikan kepada Pehayat asalnya. Kefahaman ilmu, perasaan, merasai ikatan hayat dan hilang syuhud hayat diri yang wujud hanya Hayat dari Allah SWT adalah Wahdatul Wujud yang dimaksudkan oleh Ibnu Arabi. Maka Pehayat  adalah Allah SWT yang Dia saja yang wujud dan makhluk hanya bergantung pada hayat Allah SWT. Walaupun begitu, hayat makhluk tidak terikat dengan Hayat Allah SWT secara terus tetapi masih ada perantaran iaitu sifat hayat kekasih-Nya atau Roh kekasih-Nya. Roh kekasih-Nya yang ‘mengikat’ hidup makhluk dan hayat Allah SWT.

Sunday, October 27, 2013

Peristiwa ikatan Jasad dan Roh keturunan Nabi Adam a.s

Peristiwa ini berlaku di dalam rahim. Kesempurnaan jasad tercapai apabila janin di dalam rahim telah selesai fasa 3 iaitu selepas proses ‘daging membaluti tulang.Tempoh masa akhir fasa ini adalah lebih kurang dua belas hingga enam belasminggu atau tiga hingga empat bulan. Apabila tiba tempoh ini, maka malaikat pun meniup roh ke jasad atau janin yang matang melalui bahagian tubuh ibunya. Melalui ilmu lata’if, tiupan roh berlaku di lata’if akhfa atau di ubun-ubun ibu dan kemudian terus ke rahim dan janin. Para ulama fekah telah meletakkan tempoh kemasukan roh ke dalam janin adalah lebih tiga bulan. Mereka mengambil tempoh ini dengan merujuk kepada tempoh idah yang ditetapkan oleh al-Quran. Ini adalah untuk mengesahkan wanita itu tidak mengandung atau mengenalpasti anak kandungnya dalam tempoh kematangan janin sebelum berkahwin dengan lelaki lain. Peristiwa ikatan roh dengan jasad ada tercatat di dalam surah as-Sajdah ayat 29.

Thursday, October 17, 2013

Sistem Kerohanian Manusia

Rajah yang diberi menunjukkan kawalan hubungan sistem rohani. Terdapat tiga peringkat kawalan rohani yang diketahui iaitu sistem rohani peringkat pertama iaitu adalah sifat hayat Allah SWT. Melalui sifat hayat wujud wajib terjadinya sifat hayat kekasih-Nya (roh kekasih-Nya) iaitu kesan dari perbuatan-Nya . Daripada sifat hayat kekasih-Nya(roh kekasih-Nya) inilah terjadinya sifat kudrat, sifat ilmu dan sifat iradat (wujud di setiap lapisan langit) lalu mengawal sifat-sifat yang diwujudkan ini. (Dari buku sistem kerohanian manusia).

Monday, September 23, 2013

Kosmologi Islam

Ilmu kosmologi dan Islam sememangnya tidak dapat dipisahkan. Mempelajari ilmu kosmologi bermakna kita cuba mengetahui tentang kewujudan Allah SWT dan mengenal diri sendiri. Allah SWT menyeru manusia untuk mengkaji langit dan bumi. Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat berkisarkan tentang kejadian, rahsia, struktur, sistem serta fungsi langit dan bumi. Memahami langit dan bumi bererti memahami tentang sifat Allah SWT kerana kejadian alam semesta adalah dari sifat-Nya. Sifat alam semesta ini menyerupai sifat-Nya tetapi bukan sifat sebenar Allah SWT. Allah SWT menunjukkan sifat-Nya pada alam semesta ini supaya manusia mengenali-Nya menerusi makhluk ciptaan-Nya. Sifat yang ada pada makhluk adalah sifat yang diciptakan kerana martabat tuhan tidak layak bagi makhluk. Sifat yang dimaksudkan ini adalah sifat ma’ani Allah SWT. Dalam kosmologi Islam, kajian atau sumbangan akan berkait dengan soal-soal ibadat kepada Allah SWT berbanding dengan kosmologi bukan Islam yang lebih ditumpukan kepada soal keuntungan duniawi dan pengurusan makhluk. Kosmologi Islam terbahagi kepada tiga iaitu yang pertama hubungan kosmologi dengan fekah, kedua hubungan kosmologi dengan tauhid dan akhir sekali adalah hubungan kosmologi dengan tasawuf (Petikan buku sistem kerohanian manusia, bab 2, kosmologi islam).